Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Daerah Lawas Berjalan Lancar

SELASA, 27 APRIL 2021

LAWAS: Fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Daerah Lawas telah pun bermula.

Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang juga Pengurus Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Dr. Liyu Zin Eu berkata orang awam yang telah mendaftar di aplikasi MySejahtera dan telah dihubungi menerusi telefon bimbit akan menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Mereka yang telah mendaftar akan dihubungi melalui nombor telefon bimbit yang didaftarkan dan dimaklumkan lebih awal untuk hadir pada fasa kedua ini.

“Kebanyakan mereka yang terlibat dalam pemberian vaksin COVID-19 ini adalah warga emas, mempunyai penyakit berisiko tinggi dan Orang Kurang Upaya (OKU) serta beberapa petugas barisan hadapan,” katanya semasa ditemui selepas menyaksikan perjalanan pemberian Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Bangunan Pusat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Batu 3 pada Ahad. 

Dalam tinjauan selepas menerima suntikan vaksin, kebanyakan mereka memberi reaksi positif dan tidak menerima apa-apa kesan sampingan. 

Hanya dengan mengambil vaksin COVID-19 dapat melindungi diri sendiri dan orang ramai dalam membendung penularan wabak COVID-19. -EDISI UKAS

Share

add comment