Menghargai Jasa Petugas Barisan hadapan, SIDS Cawangan Kemena Hulurkan Bantuan Makanan

RABU, 28 APRIL 2021

BINTULU: Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu yang juga Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat melahirkan penghargaan dan terima kasih di atas bantuan yang mereka serahkan kepada petugas barisan hadapan. 

Katanya, sumbangan ini sangat dihargai sebagai ucapan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang telah banyak membantu dalam mengawal penularan pandemik COVID-19. 

“Pada hari ini kita telah menerima sumbangan daripada Serakup Indu Cawangan Kemena yang diketuai Jenny Bangga yang menyerahkan bantuan makanan kering atau Dry Food kepada Poliklinik dan juga Hospital Bintulu. 

“Usaha yang murni ini kita ucapkan terima kasih kepada NGO’s dan sebagainya yang telah memberi sumbangan bukan sahaja kepada petugas barisan hadapan tetapi juga kepada pesakit COVID-19 yang ditempatkan di PKRC Bintulu,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas menerima sumbangan makanan kering daripada Pengerusi Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Cawangan Kemena Jenny Bangga di Dewan Suarah Bintulu pada Selasa. 

Sementara itu, Jenny ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang bertugas di Bintulu di atas perkhidmatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). 

“Kita bersama mereka di dalam mendepani pandemik COVID-19. Kita mengenang jasa mereka yang menjaga keselamatan kita semua. 

“Jadi, sedikit sebanyak kita berharap sumbangan dan bantuan yang kita berikan ini membantu meringankan perasaan mereka yang di luar sana dan ada ibu-ibu di dalam persatuan kami menghargai jasa mereka,” katanya. 

Terdahulu, SIDS Cawangan Kemena turut menyerahkan sumbangan kepada Gereja Katolik St. George, Klinik Kesihatan Sebauh dan petugas keselamatan yang menjaga kawasan sekatan di Rumah Gani Lamsan, Sebangat, Rumah Patrick Andin, Sarakit dan Rumah Julin di Pandan, Sebauh. 

Hadir sama Timbalan Pengerusi SIDS Cawangan Kemena Elizabeth Neil dan Setiausaha SIDS Cawangan Kemena Jerida Andin. -EDISI UKAS