Pengesanan Kes Secara Aktif Di Rumah Nugu Dan Rumah Manggang Di Sarikei

RABU, 28 APRIL 2021

SARIKEI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sarikei bersama Pejabat Kesihatan Bahagian pada Rabu melakukan Pengesanan Kes Secara Aktif (ACD) susulan penambahan kes baharu COVID-19 di Sarikei.

ACD kali ini melibatkan dua buah rumah panjang iaitu Rumah Nugu dan Rumah Manggang di kawasan Kerubong, Jalan Sarikei-Selalang.

Semalam dua rumah panjang di kawasan sama turut menjalani ujian saringan iaitu Rumah Puin dan Rumah Meringai.

Setakat ini, belum ada arahan kawalan pergerakan (lockdown) dikeluarkan namun KKM menasihatkan serta menyarankan agar semua yang terlibat melakukan kuarantin kendiri dan tidak perlu keluar jika tidak ada urusan yang penting.

Susulan itu Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap ADUN Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh berpesan dan mengingatkan warga Kuala Rajang khasnya dan rakyat Sarawak amnya agar sentiasa mengamalkan SOP, jaga diri dan keluarga serta persekitaran kerana ia amat penting untuk memutuskan rantaian pandemik berkenaan. – EDISI UKAS

Share

add comment