Perairan Laut Lawas Bebas Daripada Pencemaran Fenomena Air Laut Merah

RABU, 28 APRIL 2021

LAWAS: Fenomena air laut Merah yang berlaku di perairan laut di Tuaran Sabah semakin pulih dan tidak menjejaskan perairan laut di Lawas. 

Ini kerana perairan laut Lawas bersempadan dengan laut Tuaran, Sabah boleh berlaku sekiranya keadaan itu semakin serius. 

Untuk mendapat penjelasan terperinci mengenai kejadian ini, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) telah mendapat penjelasan daripada Jabatan Perikanan Laut Daerah Lawas pada Isnin.

Menurut maklumat yang diterima dari negeri Sabah, keadaan kawasan perairan yang terjejas tersebut sudah beransur pulih.

Maklumat tersebut diperolehi daripada nelayan yang keluar ke laut menangkap ikan dan berada di lokaliti dalam lingkungan teluk Brunei memberitahu keadaan air laut adalah seperti biasa. 

Tiada kejadian aneh mahupun air laut bertukar warna merah seperti yang pernah berlaku sebelum ini di kawasan perairan tersebut. 

Bagaimanapun, Jabatan Perikanan Laut Daerah Lawas akan sentiasa memantau dari semasa ke semasa dan sekiranya wujud sebarang keanehan di perairan Laut, tindakan susulan akan  diambil untuk menyiasat keadaannya. 

Ini bagi memastikan hasil tangkapan laut yang di pasarkan nelayan adalah selamat untuk dimakan dan bebas dari pencemaran toksid akibat fenomena air laut merah yang telah berlaku di perairan Sabah. -EDISI UKAS