PKRC Kem Belia Mukah Kembali Beroperasi Dalam Masa Terdekat

RABU, 28 APRIL 2021

MUKAH: Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Mukah akan kembali beroperasi di Kem Belia Mukah sebaik kes COVID-19 di Politeknik Mukah pulih sepenuhnya.

Menurut Residen Bahagian Mukah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Bahagian Mukah, Hamdiah Bakir, situasi di Politeknik Mukah kini dalam keadaan terkawal selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di institusi pengajian tinggi tersebut.

“Kita nampak di Politeknik Mukah, sudahpun terkawal. Tiada lagi kes-kes dari tempat tersebut, kecuali mereka yang masih dikuarantin dan mereka yang menunggu keputusan second swab. Yang lain-lain semua habis dikesan dan keputusan semua sudah diperolehi.

“Jadi untuk itu apabila keadaan selesai di Politeknik Mukah, kalau kes tidak banyak, kita akan beroperasi kembali di Kem Belia Mukah. Sekiranya banyak, akan kembali ke Dewan Politeknik Mukah,” katanya kepada UKAS selepas simbolik penyerahan sumbangan tiga unit penghawa dingin kepada PKRC Mukah pada Selasa.

Katanya, penghawa dingin tersebut disumbangkan oleh Balingian Energy Mineral iaitu anak Syarikat Sarawak Energy Berhad, Ahli Parlimen Mukah Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Mukah sendiri.

Sementara itu, Hamdiah memberitahu beliau telah dimaklumkan oleh Pegawai Kesihatan Bahagian Mukah bahawa pihaknya telah menerima seramai 14 orang kakitangan tambahan daripada luar Mukah.

Katanya, tiga kakitangan adalah untuk membantu PKRC manakala selebihnya untuk membantu Pengesan Kes Secara Aktif (ACD).

Hamdiah turut meninjau sekitar Kem Belia Mukah untuk melihat kelengkapan dan kemudahan yang telah diperlengkapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Mukah dengan bantuan pihak-pihak yang berkenaan agar pusat itu sesuai untuk digunakan sebagai PKRC kelak. – EDISI UKAS

Share

add comment