PT3 DIbatalkan, UPSR Dimansuh Sepenuhnya

RABU, 28 APRIL 2021

KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil keputusan membatalkan Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pada tahun 2021 manakala Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan sepenuhnya bermula tahun ini. 

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, keputusan tersebut dibuat dengan mengambil kira kekangan masa bagi para pelajar untuk membuat persiapan khususnya pembelajaran bersemuka bersama guru di sekolah.

 “Dalam membuat keputusan untuk membatalkan PT3 bagi tahun 2021 adalah mengambil kira masa yang ada bagi murid-murid kita membuat persediaan khususnya secara bersemuka bersama guru-guru di sekolah.

“Jika kita lihat penularan COVID-19 masih belum dapat ditangani sepenuhnya dan kita mengambil kira keadaan semasa dan juga tanpa perlaksanaan PT3 tahun ini, kaedah pentaksiran murid boleh terus dilaksanakan” ujarnya semasa berucap dalam Sidang Media Khas di Kuala Lumpur pada Rabu. 

Katanya, antara kaedah-kaedah pentaksiran yang digunakan sejak tahun 2020 adalah Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) Dan Pentaksiran Aktiviti Jasmini, Sukan Dan Kokurikulum (PAJSK).

Susulan pemansuhan UPSR, Kementerian Pendidikan katanya akan memperkasakan pentaksiran berasaskan sekolah mulai tahun ini. 

Jelasnya lagi, Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) akan digunakan bagi pelajar yang terlibat untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh tingkatan satu dan empat.

 “Kemasukkan ke sekolah khusus tingkatan empat tahun 2022 akan dibuat berdasarkan (PKSK)maknanya sekiranya anak-anak kita yang berhasrat untuk ke asrama penuh pada tahun 2022, mereka boleh menduduki PKSK pada tahun ini.”tambahnya. –EDISI UKAS


Share

add comment