Tuai Rumah dan Kapitan Masa Kini Perlu Celik Teknologi Maklumat

RABU, 28 APRIL 2021

SIMANGGANG: Tatacara kerja seorang Tuai Rumah dan Kapitan adalah berbeza pada masa kini sekiranya dibandingkan dengan yang dahulu.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis memberitahu, Tuai Rumah dan Kapitan perlu celik teknologi maklumat (IT) dan mempunyai telefon pintar untuk urusan kerja serta pemakluman melalui atas talian.

Dalam majlis penyerahan sijil pelantikan dan perlanjutan Tuai Rumah dan Kapitan di Simanggang pada Selasa, beliau berkata, cara itu mempermudahkan perhubungan dan pemakluman berita yang penting.

Sementara itu, beliau yang juga ADUN Simanggang menasihati Tuai Rumah dan Kapitan yang telah mendapat sijil untuk komited dalam menggalas tanggungjawab yang diamanahkan dan membawa hala tuju jelas menyampaikan polisi kerajaan semasa yang mengiktiraf pelantikan mereka.

Tambahnya, setiap KMKK perlu mengadaptasi cara kerja baru yang lebih cepat.

Mereka dikehendaki ujarnya mewujudkan profil kampung untuk mengetahui aktiviti yang bakal dilaksanakan, pembangunan yang dirancang dan aktiviti sosio ekonomi yang diusahakan oleh penduduk kampung.-EDISI UKAS

Share

add comment