5 Peniaga Dikompaun Langgar SOP Berniaga Di Luar Waktu Dibenarkan

KHAMIS, 29 APRIL 2021

MIRI: Seramai lima orang peniaga dikenakan kompaun selepas melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana berniada melebihi masa yang dibenarkan. 

Majlis Bandaraya Miri (MBM) dalam kenyataan media pada Khamis berkata, lima notis kompaun telah dikeluarkan masing-masing berjumlah RM1,500.

“Operasi yang terdiri daripada Pegawai Penguatkuasa dan Pegawai Kesihatan Awam telah diadakan pada Rabu selepas jam 10.30 malam.

“Ianya diadakan bagi memastikan semua urusan perniagaan dihentikan pada jam 10.00 malam seperti mana dalam SOP PKPB kawasan Zon Merah. 

“Operasi merangkumi premis perniagaan di bawah bidang kuasa MBM termasuk kedai makan, bar dan bistro di kawasan komersial seperti Pusat Komersial Boulevard, Bandar Baru Permyjaya, Tudan, Senadin Commercial Pusat Komersial Morsjaya, Tanjong Lobang, Marina Park City Fasa 1 dan 2, dan Miri Times Square Commercial Pusat Komersial Miri Pelita,” katanya. 

Sehubungan itu, MBM meminta kerjasama daripada semua pengusaha perniagaan untuk mematuhi SOP yang ditetapkan dalam memastikan keselamatan komuniti Miri. 

Untuk memastikan penguatkuasaan SOP dipatuhi, MBM akan meneruskan pemantauan dan pemeriksaan seperti mana diumumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri (JPBN) Sarawak. -EDISI UKAS

Share

add comment