KHAMIS, 29 APRIL 2021
MIRI: Satu kebakaran yang memusnahkan kediaman yang dihuni 10 orang penduduk di Pujut Tanjung Batu pada Isnin lepas telah mendapat perhatian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Datuk Lee Kim Shin.
Kebakaran tersebut melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal yang terbakar sehingga 80 peratus.
Pada masa yang sama, sebuah rumah bersebelahan yang didiami 5 penghuni juga terjejas akibat kebakaran dan anggaran kerosakan adalah 20 peratus.
Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak telah mengadakan lawatan tapak pada Rabu dan menghulurkan bantuan wang tunai, beras, tepung susu, lampin bayi dan botol susu bayi kepada mangsa kebakaran.
Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Miri juga turut menyalurkan bantuan wang kebajikan kepada mangsa kebakaran.
Dalam insiden itu, seorang wanita berusia 32 tahun melecur di bahagian kaki dan telah diberikan rawatan oleh Hospital Miri.
Punca kebakaran disyaki daripada bahagian dapur dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Hadir sama Pegawai Takbir Pejabat Daerah Miri Edward Anak Tawang dan Ketua Kaum Pujut Tanjung Batu Othman Sulaiman. -EDISI UKAS