Lebih Banyak Jalan Kampung Di Meradong Perlu Dinaiktaraf

KHAMIS, 29 APRIL 2021

BINTANGOR: Penduduk di Meradong terutamanya di luar bandar dan komuniti pekebun memerlukan lebih banyak lagi jalan ke penempatan mereka dinaiktaraf untuk keselesaan bagi menjalankan aktiviti harian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong berkata, pelaksanaan sebanyak 22 projek jalan konkrit di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (MARRIS) yang kini telah siap amat bermakna kepada penduduk di kawasan itu dan berharap projek sedemikian diteruskan demi kepentingan penduduk.

“Pada masa yang akan datang saya berharap semua jalan kampung di Meradong dapat dinaiktaraf kepada jalan yang lebih selesa dan lebar.

“Ini amat penting kepada penduduk terutamanya untuk keselesaan menjalankan aktiviti harian mereka,” katanya.

Bercakap kepada UKAS semasa ditemui selepas meninjau projek tersebut di Meradong pada Rabu, Datuk Ding berharap penduduk Meradong menghargai dan berterima kasih kepada kerajaan yang telah meluluskan peruntukan untuk pembangunan mereka.

Sementara itu, Kapitan Wong Ming Ging dari Sungai Tulai menzahirkan penghargaan kepada Datuk Ding dan kerajaan yang telah meluluskan projek tersebut kepada penduduk kampung.

“Terima kasih kepada kerajaan terutamanya Datuk Ding atas usaha menjayakan projek jalan konkrit ini,” katanya.

Bagi Kapitan Chieng Nguong Ting dari Sungai Bakong, beliau dan penduduk amat menghargai komitmen Datuk Ding yang sentiasa berusaha membawa pembangunan kepada mereka di luar bandar.

“Atas usaha berterusan Datuk Ding, kami di Meradong telah mendapat pelbagai manfaat khususnya pelaksanaan projek jalan di kawasan luar bandar.

“Saya juga berharap penduduk dapat memberi sokongan penuh kepada Datuk Ding demi kesinambungan pembangunan infrastruktur di Meradong,” ujarnya.-EDISI UKAS

Share

add comment