KHAMIS, 29 APRIL 2021
SEBUYAU: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau menganjurkan program gotong royong memasak dan agihan bubur lambuk di Kampung Tebelu di sini pada Khamis.
Program gotong royong tersebut bermula pada pukul 10 pagi dan pengagihan bubur lambuk pula bermula pada pukul 2 petang dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan (JKK) Kampung Tebelu.
Sebanyak 220 bekas bubur lambuk telah disediakan oleh JKKK Kampung Tebelu Hulu manakala 120 bekas disediakan oleh JKKK Kampung Tebelu Hilir.
Pengagihan bubur lambuk dan kurma itu kemudian disampaikan oleh Pemanca Masyarakat Melayu Daerah Simunjan, Asli Yahya mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi.
Selain itu, agihan itu juga telah diserahkan kepada warga pendidik di Sekolah Kebangsaan (SK) Tebelu dan para pekerja Pusat Internet Kampung Tebelu.
Dalam pada itu, Ketua Kampung Polly dan Ketua Kampung Setil mewakili penduduk kampung merakamkan penghargaan kepada Datuk Julaihi atas sumbangan beliau di samping mengeratkan silaturahim di antara penduduk kampung melalui program tersebut. -EDISI UKAS