KHAMIS, 29 APRIL 2021
MUKAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi telah menyampaikan 970 set makanan dan barangan keperluan kepada pelajar Politeknik Mukah.
Sumbangan daripada SABERKAS Cawangan Balingian itu diserahkan beliau yang juga pengerusi pertubuhan tersebut melalui naib pengerusi, Munir Din pada Rabu.
Abdul Yakub berharap sumbangan tersebut dapat meringankan sedikit beban pelajar yang sebelum ini terkandas susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 11 April dan kini baru ditamatkan.
Sementara itu, Pengarah Politeknik Mukah, Dullah Muluk ketika dihubungi merakamkan ucapan terima kasih kepada SABERKAS Cawangan Balingian terutamanya Abdul Yakub diatas keprihatinan itu.
Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan sesi pembelajaran di Politeknik Mukah adalah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) terkini dan tiada kelas secara bersemuka sehingga 3 Mei dan telah dilanjutkan sehingga 10 Mei 2021.
Beliau menegaskan bahawa pelajar sentiasa diingatkan untuk mengamalkan SOP ketat mengekang penularan pandemik COVID-19.-EDISI UKAS