Selain Agensi Kerajaan, KMKK Turut Diminta Untuk Membuat Pemantauan Dan Pencegahan Kebakaran

KHAMIS, 29 APRIL 2021

MIRI: Langkah-langkah pencegahan perlu dititikberatkan oleh agensi-agensi berkaitan bagi memastikan tindakan awal dan pantas dapat dilaksanakan sekiranya berlaku angin kencang. 

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri yang juga merupakan Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf berkata, jika kebakaran berlaku dan akibat angin kencang kebakaran merebak dengan cepat, sudah pasti sukar dipadam dan menyebabkan jerebu. 

“Pembakaran sampah dan pembakaran belukar oleh petani kecil telah mengakibatkan kualiti udara menurun. 

“Begitu juga dengan pembakaran tanah gambut yang apabila merebak akan menyebabkan keadaan berjerebu.

“Justeru, orang ramai diminta untuk tidak melakukan pembakaran terbuka pada waktu ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Menangani Isu Kebakaran Tanah Gambut dan Jerebu Bahagian Miri pada Isnin.

JPBB Miri turut mendengar taklimat oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Jabatan Alam Sekitar, MET Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Pertanian Sarawak, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Miri, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Sarawak berhubung situasi semasa Bahagian Miri.

Mesyuarat turut bersetuju, selain agensi-agensi di bawah JPBB Miri, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) juga perlu memainkan peranan penting melakukan pemantauan dan mencegah kebakaran berlaku di kawasan masing-masing.  

Usaha pemantauan dan pengawasan pembakaran terbuka melalui drone kini giat dilakukan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Wilayah Utara Miri dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Kuala Baram. 

Pemantauan itu perlu dilakukan sebagai satu langkah pengawasan dan pencegahan berikutan Miri kini berada di Monsun Peralihan yang bermula 16 Mac 2021 dan dijangka berterusan sehingga 16 Mei 2021 selain mengelak kebakaran tanah gambut yang boleh mengakibatkan jerebu di Miri. -EDISI UKAS

Share

add comment