Tiada Tolak Ansur Jika Kejadian Pesakit Positif COVID-19 ‘Hilang’ Lagi

KHAMIS, 29 APRIL 2021

BINTULU: Tiada tolak ansur dan tindakan tegas akan diambil sekiranya kejadian kes 100 pesakit positif COVID-19 hilang berulang kembali.

Ahli Parlimen Bintulu Dato Seri Tiong King Sing dalam kenyataan media pada Rabu berkata pada masa akan datang, sesiapa yang cuba mengulangi perkara yang sama, akan dikenakan tindakan tegas.

“Saya berharap ini adalah kali pertama dan terakhir kejadian seperti ini berlaku dan pihak berkuasa tidak akan bertolak ansur serta bertoleransi.

“Individu yang didiagnosis sengaja mengelak daripada pengesanan pihak berkuasa pada masa akan datang akan dikenakan pertuduhan di bawah Seksyen 342 Akta Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya. 

Individu yang telah didiagnosis harus memberikan kerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa kerana tindakan tidak bertanggungjawab mereka boleh menyebabkan penularan COVID-19 dan menjejaskan keselamatan seluruh masyarakat.

Dalam pada itu, Dato Seri Tiong berharap 100 pesakit yang telah menyerah diri itu dapat memberikan kerjasama dan berlaku jujur dalam memberikan maklumat tepat yang telah mereka lawati semasa tempoh ‘kehilangan’ pada 12 hingga 21 April 2021.

“Ini membolehkan pihak Pejabat Kesihatan BIntulu mengambil langkah-langkah yang perlu dengan cepat.

“Saya juga menyeru Pejabat Kesihatan BIntulu untuk menjalankan siasatan secara terperinci ke atas insiden ini  terutama memeriksa individu atau kawasan yang berpotensi risiko penularan wabak jangkitan, dan jika perlu, menjalankan Pengesanan Secara Aktif (ACD) dan sekatan pergerakan di kawasan yang telah dikunjungi mereka bagi memastikan penularan dapat diputuskan,” ujarnya. 

Dalam pada itu, tegas Dato Seri Tiong lagi individu yang memberikan maklumat palsu juga akan didakwa di bawah Seksyen 342(22)(d) dan 342(24)(a) akta yang sama.

Mereka tidak lagi diberikan peluang untuk menyerah diri, tetapi akan ditangkap serta merta  oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM). -EDISI UKAS

Share

add comment