KM Sarawak Terima Kunjungan Hormat Daripada CIDB

JUMAAT, 30 APRIL 2021

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat daripada Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Jumaat.

Pengerusinya, Ir Yusof Abdul Wahab yang telah mengetuai rombongan tersebut memberitahu, kunjungan hormat itu bertujuan bagi membincangkan mengenai projek dan tanah CIDB di Kuching.

“Tujuan kunjungan hormat ini adalah untuk membincangkan berkenaan premium yang perlu dijelaskan memandangkan CIDB adalah sebuah pusat latihan yang banyak membantu kepada memberi latihan industri kepada belia-belia daripada negeri Sarawak,” katanya ketika ditemui media.

Tambah beliau, turut dibincangkan adalah mengenai tanah untuk pembinaan Kompleks Akademi Binaan Malaysia (ABM) di  Bintulu.

“Berkenaan kompleks ABM di Bintulu, kita sebenarnya membincangkan tentang kedudukan tanah yang telah ditawarkan kepada CIDB dan ABM sekiranya terdapat perubahan dari segi kedudukan tapak yang telah ditawarkan.

“Hal ini disebabkan kedudukan tapak tersebut sekarang ini, kita rasa mungkin kurang bersesuaian tetapi setelah berbincang dengan Ketua Menteri tadi, beliau memberi gambaran bahawa dengan terbinanya jalan baharu dan jambatan baharu, kawasan tersebut mungkin merupakan suatu kedudukan yang strategik untuk membina kompleks ABM dan pejabat CIDB di kawasan tersebut,” jelas Yusof lagi.

Hadir sama adalah Pengarah CIDB Sarawak, Mohd Noor Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif ABM Sarawak, Abdul Rahman Ahmad.-EDISI UKAS

Share

add comment