Lokasi Baharu Sekatan Jalan Raya Siwa, Kawalan Terus Diperketatkan

JUMAAT, 30 APRIL 2021 

MIRI: Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri, Datuk Lee Kim Shin bersama agensi-agensi di bawah JPBB Miri telah mengadakan lawatan ke Sekatan Jalan Raya (SJR) Siwa pada Jumaat. 

Katanya, SJR Siwa telah berpindah ke lokasi baharu yang terletak di sempadan Miri dan Sibuti. 

“Jadi, mana-mana kenderaan yang melalui SJR Siwa perlu menunjukkan permit polis,” katanya. 

Jelas beliau lagi, perubahan lokasi baharu itu adalah bertujuan memastikan sekatan jalan diadakan lebih ketat antara daerah tersebut.

JPBB Miri telah memperketatkan sekatan jalan bagi kelima-lima daerah iaitu Miri, Subis, Marudi, Beluru dan Telang Usan.

“Tiada mana-mana akses boleh dilalui untuk masuk ke daerah lain tanpa melalui SJR. 

“Kawalan kenderaan masuk dari daerah lain diperketatkan terutama yang mempunyai alasan menghadiri majlis pengkebumian.

“Kita juga sedia maklum bahawa kebanyakan kes positif COVID-19 meningkat disebabkan menghadiri upacara pengkebumian,” jelasnya lagi. 

Dalam pada itu, Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak turut mengingatkan bahawa permohonan permit polis bagi merentas daerah hanya dibenarkan untuk tiga kategori sahaja iaitu kecemasan, tugasan rasmi dan perkhidmatan perlu. 

“Ini adalah bagi memastikan tidak terlalu ramai orang ke balai Polis untuk mendapatkan permit di samping memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 dipatuhi,” katanya. 

Beliau juga menyeru orang ramai di Miri agar terus sentiasa kekal waspada dan mematuhi SOP COVID-19 yang ditetapkan kerajaan.

Turut sama hadir Pengerusi JPBB Miri merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf. -EDISI UKAS

Share

add comment