Masyarakat Di Daerah Marudi Digesa Mendaftar Dan Menerima Vaksin COVID-19

JUMAAT, 30 APRIL 2021

MARUDI: Proses pemberian vaksin COVID-19 Fasa Kedua di Daerah Marudi berjalan lancar. 

Ini selepas pihak Hospital Marudi telah membuat persiapan awal untuk mengelakan penerima suntikan vaksin ini berasa takut dan sesak sepanjang mendapatkan vaksin COVID-19 ini. 

Seramai 186 individu yang terdiri daripada warga emas, mereka yang mempunyai penyakit berisiko tinggi dan Orang Kurang Upaya (OKU) menerima vaksin fasa kedua ini. 

Bagi Pemanca Randie, beliau yang telah menerima suntikan vaksin COVID-19 memberitahu tidak mempunyai apa-apa kesan sampingan dan menggesa penduduk Marudi mendaftar dan menerima vaksin COVID-19.

“Saya telah menerima vaksin dan sehingga kini tidak menerima apa-apa kesan sampingan seperti sakit dan sebagainya. 

“Untuk itu, saya berharap masyarakat di kawasan Daerah Marudi ini mendaftar dan menerima vaksin COVID-19 sekaligus memutuskan rantaian COVID-19,” katanya semasa ditemui selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 di Hospital Daerah Marudi pada Rabu. 

Sementara itu, Tuai Rumah Micheal Selangkor turut sama menggesa masyarakat di Daerah Marudi mengambil suntikan vaksin COVID-19 bagi melindungi diri sendiri dan orang lain daripada dijangkiti COVID-19. 

“Saya telah diberikan suntikan vaksin COVID-19 dan setakat ini tiada apa-apa yang berlaku. 

“Justeru, saya meminta masyarakat untuk tidak takut menerima suntikan vaksin COVID-19 dalam usaha melindungi diri dan orang lain daripada dijangkiti COVID-19. Lindungi diri, lindung semua,” katanya. 

Hadir sama Ketua Masyarakat Iban Kawasan Marudi Pemanca Randie Bundan, Ahli Majlis Daerah Marudi Kaunselor Yanti Nyanggau dan Ketua Masyarakat Iban Kawasan Puyut Lubok Nibung Penghulu Hillary Tawan. -EDISI UKAS

Share

add comment