PBSM Sumbang Alat Perubatan RM76,000 Kepada Hospital Sarikei

JUMAAT, 30 APRIL 2021

SARIKEI: Prihatin dengan kekurangan peralatan perubatan Hospital Sarikei, Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Daerah Sarikei, Datuk Ding Kuong Hiing menyumbangkan peralatan perubatan berjumlah RM76,000 kepada hospital tersebut pada Khamis.

Antara mesin peralatan yang disumbangkan adalah dua unit ‘Patient Monitor’ bernilai RM16,000, empat unit ‘Vital Sign Monitor’ (RM19,200), enam unit ‘Infusion Pump’ (RM20,400) dan enam unit ‘Syringe Pump’(RM20,400).

Peralatan perubatan tersebut adalah bagi memantau tahap kesihatan atau keadaan pesakit COVID-19 di hospital itu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong berkata, jumlah pesakit kian bertambah sejak penularan pandemik COVID-19 di Sarikei.

Justeru, Datuk Ding berharap sumbangan itu dapat meringankan beban dan memudahkan kerja para pegawai perubatan semasa menjalankan tugas mereka.

Selain itu, beliau juga merakamkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan atas pengorbanan mereka bertungkus lumus dalam membendung penularan pandemik COVID-19. –EDISI UKAS

Share

add comment