UKPN Persiap Pegawai Dan Anggota, Sedia Hadapi Cabaran Semasa Menjalankan Tugas

JUMAAT, 30 APRIL 2021

LUBOK ANTU: Seramai 27 orang peserta Immune Belt Enforcement Team (IBET) terdiri daripada Pembantu Keselamatan (KP19) telah mengikuti latihan tersebut selama tiga minggu bermula daripada 12 hingga 30 April 2021.

Timbalan Pengarah Unit Keselamatan Dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN) Sarawak, Dato Clearance merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada para peserta yang terlibat.

Ujarnya, anggota IBET yang menyertai latihan itu merupakan pegawai yang bertugas di sepanjang kawasan sempadan darat dan sungai yang mana mereka memerlukan kecekapan dalam mengendalikan bot panjang.

“IBET ditubuhkan bagi membantu Jabatan Veterinar mengawal mencegah kemasukan anjing-anjing liar melalui sempadan Sarawak- Kalimantan yang sepanjang 1648 kilometer dari Lundu ke Lawas, selain menjadi mata dan telinga membantu agensi-agensi penguatkuasa lain memantau dan mengawal aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutupan Latihan Asas Pengendalian Bot Panjang dan Ikhtiar Hidup Siri 1/2021 di Teluk  Pudai, Empangan Hidro Batang Ai, Lubok Antu.

Jelas beliau, sebanyak 32 IBET telah diwujudkan untuk mengawal 978 kampung dan ladang di sepanjang sempadan Sarawak- Kalimantan.

Dato Clearance menambah lagi, UKPN kini dalam proses  mempertingkatkan  pembangunan insan dan pembangunan kapasiti bagi memantapkan kemahiran dan pengetahuan pegawai dan anggota supaya bersedia menghadapi cabaran semasa menjalankan tugas.

“Dalam kursus ini pelatih telah diajar dan didedahkan mata pelajaran teori enjin dan teknik kelangsungan hidup dengan pemanduan bot secara konvoi.

“Turut diselitkan cara-cara mengemaskini dan garis panduan pengisian buku log enjin sangkut.

“Selepas itu pelatih akan menghadiri latihan pengendalian kenderaan pacuan empat roda di PULAPOL Kuching, Kursus Penyelidikan, Kursus Undang-undang, Kursus Pembantu Veterinar dan Kursus Komunikasi Berkesan yang akan dikendalikan oleh Jurulatih daripada PDRM, Polis Marin dan Pasukan Gerakan Am,” ujar beliau. -EDISI UKAS

Share

add comment