ADUN Kuala Rajang Sumbang Duit Raya

SABTU, 1 MEI 2021

SARIKEI: Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap ADUN Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh pada Sabtu berkesempatan menyampaikan sumbangan duit raya untuk ahli kakitangan Lembaga Kebajikan Islam Sarikei (LAKISRI), Jawatankuasa Masjid, pekerja penggali kubur dan ahli fardu kifayah di Sarikei.

Dalam program ringkas diadakan di Rumah Rehat Sri Nyelong, Datu Len turut menerangkan serba sedikit tentang perancangan yang akan dijalankan oleh LAKISRI pada masa akan datang.

Sumbangan tersebut diharap dapat meringankan beban penerima dalam persediaan menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

Beliau turut menjelaskan punca kelewatan projek naiktaraf Masjid Al-Mutaqqin Sarikei berikutan pandemik COVID-19 dan berharap semua ahli jawatankuasa faham akan situasi yang berlaku.

Sementara itu, pada Jumaat, Datu Len turut menyampaikan sumbangan sama kepada 935 golongan asnaf, mualaf, ibu tinggal dan OKU dari Zon Tanjong Manis meliputi Kampung Belawai, Rajang dan Jerijih yang berjumlah keseluruhan RM46,750.

Semua sumbangan diserahkan kepada Ketua-Ketua Kaum dari Belawai, Rajang dan Jerijih untuk diagihkan kepada para penerima bertempat di Pusat Khidmat PBB Tanjong Manis.

Secara keseluruhannya seramai 1150 golongan asnaf dan mualaf di Tanjong Manis menerima sumbangan bantuan kewangan daripada PUSAKA dan anak syarikatnya PUSAKA Capital Sdn Bhd.

Sumbangan berjumlah RM80,000 akan diagihkan kepada seramai 1150 golongan asnaf dan mualaf DUN Kuala Rajang untuk kegunaan bulan Ramadan atau menyambut ketibaan Syawal nanti dan ia merupakan sumbangan tahunan PUSAKA sejak 20 tahun lalu. – EDISI UKAS

Share

add comment