One Stop Center COVID-19, Percepatkan Pengesanan Kontak Rapat

SABTU, 1 MEI 2021

KUCHING: Berikutan peningkatan kes berterusan di Sarawak, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif bagi mempercepatkan pengesanan kontak rapat kes positif COVID-19 dengan mewujudkan sebuah Pusat Sehenti atau ‘One Stop Center’ COVID-19 di Bahagian Kuching.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, memberitahu, pusat sehenti tersebut merupakan satu projek perintis yang bermatlamat menempatkan semua jabatan dan kakitangan yang terlibat dalam operasi memerangi COVID-19.

Jelasnya, pusat sehenti yang akan mula beroperasi pada Isnin depan iaitu 3 Mei 2021 ditempatkan di Dewan Masyarakat Kuching Jalan Padungan.

“Ini adalah One Stop Center yang pertama yang kita telah dirikan di Sarawak dan ini adalah satu ‘pilot project’ yang mempunyai matlamat untuk menempatkan semua jabatan dan kakitangan yang terlibat sama dalam operasi memerangi COVID-19.

“Ini termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dewan Bandaraya, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Residen, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Unit Keselamatan Dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN) dan Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke pusat tersebut di sini pada Sabtu.

Datuk Amar Douglas yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, beliau berharap dengan inisiatif itu, segala pengurusan kes COVID-19 dapat dipertingkatkan.

“Disinilah kita berharap satu pusat yang dapat menentukan segala pengurusan kes COVID-19 ini dapat kita tingkatkan dan pengesanan kontak dapat dibuat dengan lebih cepat,” katanya.

Turut mengiringi Datuk Amar Douglas ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) Dr Chin Zin Hing serta pegawai-pegawai kerajaan yang lain. -EDISI UKAS

Share

add comment