Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Fasa 2 Dan Fasa 3 akan diadakan di Dewan Masyarakat Tebedu

SABTU, 1 MEI 2021

SERIAN: Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi fasa dua dan fasa tiga akan diadakan di Dewan Masyarakat Tebedu pada Jun 2021 ini. 

Menurut Dr. Edmund Shin, program vaksinasi itu diharap dapat melengkapkan sasaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelang 31 Ogos nanti.

Katanya lagi, setakat ini, seramai 17 294 daripada 24,983 penerima telah mendaftar dengan menggunakan aplikasi Mysejahtera dan secara manual. 

“Program vaksinasi ini dijangka akan mengambil masa 87 hari sekiranya kapasiti suntikan sehari adalah sebanyak 400 dos.

“Program ini juga akan melibatkan seramai 35 petugas yang terdiri daripada staff kesihatan dan sukarelawan,” katanya dalam Taklimat Persediaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Tebedu di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Serian pada Sabtu.

Tambah Dr Edmund, bagi mencapai sasaran tersebut pihak Pejabat Kesihatan Bahagian Serian akan bekerja tujuh hari seminggu tanpa gagal. 

Justeru itu, beliau memohon agar semua agensi terbabit seperti Pejabat Daerah Tebedu, Klinik Kesihatan Tebedu, Majlis Daerah Serian, RELA dan badan sukarela untuk tampil membantu pihak KKM supaya Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 ini berjalan dengan lancar. -EDISI UKAS

Share

add comment