Cadangan Pembinaan Sebuah Empangan Paip Graviti Baharu Di Kampung Bunan Gega & Kampung Bunan Punok

AHAD, 2 MEI 2021

KEDUP: Sebuah empangan paip graviti yang baharu perlu dibina dalam usaha memastikan bekalan air bersih terus dapat dinikmati oleh para penduduk Kampung Bunan Gega dan Kampung Bunan Punok.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Martin Ben berkata, ahli-ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung berkenaan perlu berbincang terlebih dahulu untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, reka bentuk empangan yang sesuai perlu dikemukakan kepada beliau untuk penelitian dan proses selanjutnya.

“Hasil tinjauan mendapati keadaan empangan sistem paip graviti di hulu Sungai Bunan yang telah dibina oleh Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) pada awal tahun 1990 bagi membekalkan air bersih kepada penduduk-penduduk di kedua-dua kampung berkenaan mengalami kerosakan.

“Empangan yang telah mencecah usia hampir 15 tahun tersebut mengalami kerosakan pada tangki penapisan, cetek dan bocor di sebelah kiri dan kanan empangan,” katanya semasa melakukan lawatan kerja ke Empangan Paip Graviti Sungai Bunan pada Sabtu.

Tambah beliau, pelbagai langkah untuk membaiki kerosakan empangan tersebut bagi memastikan bekalan air bersih terus dapat dinikmati oleh penduduk kedua-dua kampung berkenaan. -EDISI UKAS

Share

add comment