Dua Syarikat, 25 Pekerja Di Bintulu Dikenakan Kompaun Tidak Patuhi SOP PKPB Diperketatkan

AHAD, 2 MEI 2021

BINTULU: Dua buah syarikat pengendali penghantaran dan perkapalan serta syarikat jual beli kenderaan serta 25 pekerja telah dikenakan kompaun sebanyak RM57,500 akibat tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Diperketatkan di Bintulu pada Jumaat. 

Menurut Pegawai Kesihatan Bintulu Dr Melvin Chung, mereka dikenakan kompaun di bawah Peraturan 18.P.U(A)97/2021 Ordinan DARURAT (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 disebabkan tidak menggunakan aplikasi MySejahtera dan membenarkan lebih 30 peratus kapasiti pekerja turun bekerja. 

“Dua buah syarikat yang mengendalikan perniagaan penghantaran dan perkapalan serta jual beli kenderaan telah dikenakan kompaun masing-masing sebanyak RM10,000 kerana tidak mematuhi SOP yang hanya membenarkan 30 peratus pekerja turun bekerja.

“Turut dikenakan kompaun ialah 22 pekerja syarikat pengendalian  penghantaran dan perkapalan yang sama di Tanjung Kidurong ekoran tidak mengimbas aplikasi MySejahtera dengan menjadikan jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan kepada syarikat adalah sebanyak RM43,000.

“Manakala, tiga pekerja syarikat jual beli kenderaan di Tanjung Batu turut dikenakan kompaun sebanyak RM14,500 atasan kesalahan sama,” katanya semasa ditemui selepas Operasi Pematuhan SOP PKPB Diperketatkan di sekitar Bandar Bintulu dan kawasan Industri Kidurong pada Jumaat. 

Ujar Dr Melvin lagi, pihaknya akan meneruskan Operasi Pemantauan SOP PKPB Diperketatkan bagi memastikan setiap syarikat dan masyarakat mematuhi SOP dalam usaha mengekanng penularan wabak COVID-19. 

“Kita dari semasa ke semasa akan pergi melakukan pemantauan dari satu tempat ke satu tempat dan satu syarikat ke satu syarikat secara mengejut untuk membuat pemeriksaan pematuhan kepada SOP. 

“Kita dapati masih ada syarikat yang tidak mematuhi SOP seperti yang telah digariskan kerajaan seperti tidak mengimbas MySejahtera dan pekerja turun melebihi 30 peratus.

“Kita amat memerlukan kerjasama daripada masyarakat untuk bersama kita untuk memastikan setiap orang patuh kepada SOP. Kalau tidak, sukar untuk kita mengawal pandemik tersebut,” ujarnya. 

Hadir sama Ahli Parlimen Bintulu yang juga merupakan Duta Khas Perdana Menteri ke Rupeblik Rakyat Cina Dato Seri Tiong King Sing dan beberapa wakil Penguatkuasa Lembaga Kemajuan Bintulu, wakil Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan penguatkuasa Pejabat Kesihatan Bintulu. -EDISI UKAS

Share

add comment