Kerjasama Kerajaan Persekutuan Dan Kerajaan Sarawak Penting Bantu Usahawan Tempatan

AHAD, 2 MEI 2021

KUCHING : Kerjasama dan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sarawak amat penting dalam memastikan komuniti usahawan di Sarawak tidak ketinggalan dari sektor pemerkasaan ekonomi.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan telah menyuarakan beberapa pandangan dan cadangan bagi tujuan penyelarasan pelaksanaan program di peringkat negeri Sarawak.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak menyuarakan perkara tersebut semasa Mesyuarat Pembangunan Usahawan Dan Pks Kebangsaan (MPUPK) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

MPUPK merupakan jawatankuasa tertinggi yang menjadi platform bagi menggubal dasar dan menyelaraskan program serta projek pembangunan usahawan di peringkat nasional.

Mesyuarat yang diadakan secara atas talian itu turut dihadiri Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Sarawak, Datuk Naroden Majais serta Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Sarawak Datuk (Dr) Malcolm Mussen Lamoh. -EDISI UKAS

Share

add comment