Program Jerayawara Bubur Pedas SABERKAS Cawangan Muara Tuang 2021

AHAD, 2 MEI 2021

SAMARAHAN: Program Jerayawara Bubur Pedas 2021 kembali memeriahkan bulan Ramadan kali ini dengan simbolik penyerahan bubur pedas di Marqas Operasi Pusat Khidmat Muara Tuang, Taman Desa Ilmu, Kota Samarahan.

Program pada petang Sabtu tersebut dianjurkan oleh Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Muara Tuang menerusi kerjasama SABERKAS Negeri Sarawak dan Marqas Operasi Pusat Khidmat Muara Tuang.

Jerayawara tersebut merupakan aktiviti tahunan anjuran SABERKAS Cawangan Muara Tuang bertujuan untuk berkongsi kenikmatan bersama di bulan Ramadan dan pada masa yang sama mendekati masyarakat terutama di kalangan golongan yang kurang berkemampuan khasnya di kawasan DUN Muara Tuang.

Simbolik penyerahan bubur pedas telah disampaikan oleh Kaunselor Aziz Mohamad yang mewakili ADUN Muara Tuang, Dato’ Idris Buang, kepada wakil SABERKAS Negeri, Ketua Unit SABERKAS, wakil Marqas Pusat Khidmat N16 Muara Tuang, Penghulu Kampung Muara Tuang, Kampung Sungai Mata, Kampung Tanjung Bundong Fasa Satu dan Kampung Empila.

Turut hadir pada program tersebut ialah Setiausaha Eksekutif SABERKAS Negeri Sarawak, Iszuan Haironi, Timbalan Ketua Marqas Operasi Pusat Khidmat DUN Muara Tuang, Awang Nasihin Awang Samah, Penghulu Kampung Muara Tuang, Suut Man, Penghulu Kampung Sungai Mata, Elen Mustapha, Penghulu Kampung Tanjung Bundong Fasa Satu, Saraee Konen dan Penghulu Kampung Empila, Man Nasa. -EDISI UKAS

Share

add comment