Bahagian Miri Mencatat 12 Kluster Aktif, 648 Buah Premis Diperiksa

ISNIN, 3 MEI 2021

MIRI: Sehingga 2 Mei 2021, Bahagian Miri telah mencatat sebanyak 12 kluster aktif.

Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga merupakan Menteri bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan media pada Isnin selepas mempengerusi Mesyuarat JPBB Miri melalui aplikasi zoom berkata, daripada jumlah itu 6 kluster melibatkan tempat kerja, tiga kluster institusi pendidikan dan tiga kluster aktiviti sosial. 

“Kluster Sains Bakam pada 29 April, Kluster Jalan Agama dan Kluster Air Padang pada 30 April serta Kluster Long Jegan pada 1 Mei adalah kluster terbaru yang telah dikesan dalam tempoh itu. 

“Kluster Sains Bakam dan Kluster Long Jegan masing-masing merupakan kluster melibatkan sebuah insitusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang terletak di Jalan Bakam Miri dan Long Jegan, Beluru serta Kluster Jalan Agama yang turut melibatkan institusi pendidikan tahfiz di Jalan Agama, Miri. 

“Sementara, Kluster Air Padang merupakan kluster melibatkan tempat kerja yang merupakan agensi Kerajaan Sarawak di Jalan Padang, Miri,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak melaporkan sehingga Ahad, Majlis Bandaraya Miri (MBM) telah memeriksa 648 buah premis di Daerah Miri.

“Ianya meliputi 28 buah pasaraya, 531 premis makanan, 36 penjaja, 40 premis perniagaan dan 13 Pusat Penjaja.

“Jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan bagi tempoh 26 April sehingga 2 Mei 2021 adalah sebanyak 9 kompaun iaitu tiga kompaun di bawah perundangan Protection of Public Health Ordinance, 1999 (PPHO) manakala dua kompaun daripada Seksyen Kesihatan Awam MBM.

“Manakala, satu kompaun di bawah perundangan PPHO telah dikeluarkan kepada pemilik premis Inspiration Hair Sarawak Sdn Bhd dan tiga kompaun di bawah perundangan PPHO dikeluarkan terhadap tiga pemilik premis iaitu Q BBQ Steamboat Permy, Khan’s Bilal Restaurant dan Food Court Open Market Emart Tudan kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” ujarnya. 

Polis DiRaja Malaysia (PDRM) turut melaporkan bagi tempoh 25 April hingga 1 Mei 2021, enam buah balai polis di Miri telah menerima 7,688 permohonan permit rentas daerah dengan 528 telah ditolak dan 7,610 telah diluluskan permohonan.

Manakala, bagi Sekatan Jalan Raya (SJR) pula, sebanyak 11,076 buah kenderaan telah diperiksa, 214 kenderaan diarah untuk berpatah balik dan 10 saman trafik telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Hadir sama Pengerusi JPBB Miri yang juga Pemangku Residen Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P. Raviwharmman dan Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong Siew Yu manakala Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Dato Gerawat Gala, Menteri Muda Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap ADUN Marudi Datu Dr. Penguang Manggil menerusi aplikasi zoom dan semua wakil rakyat Bahagian Miri serta semua agensi dan jabatan di bawah JPBB Miri. -EDISI UKAS

Share

add comment