Bantuan Makanan Kepada 40 Keluarga Jalani Kuarantin di Kampung Senau Oya

ISNIN, 3 MEI 2021

OYA: Nasib 40 keluarga di Kampung Senau Oya yang sedang menjalani kuarantin mendapat perhatian dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah.

Bagi meringankan beban mereka, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak itu telah menyumbangkan bantuan makanan yang diagihkan pada Ahad.

Bantuan tersebut telah disampaikan oleh Ketua Wanita Cawangan merangkap Ketua Skuad Sayang Dalat mewakili Dato Sri Fatimah.

Difahamkan, keluarga yang dikuarantin merupakan kontak rapat kepada kes positif di Politeknik Mukah di mana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksana sebelum ini tamat tiga hari yang lalu.

Tempoh kuarantin keluarga berkenaan akan berakhir pada minggu hadapan. – EDISI UKAS