Dr Sim Kui Hian Agih 500 Bungkus Bubur Lambuk

ISNIN, 3 MEI 2021

KUCHING: Program agihan bubuk lambuk merupakan salah satu tradisi yang dijalankan pada bulan Ramadan.

Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Batu Kawah dengan kerjasama tiga unit cawangan iaitu Kampung Sinar Budi Lama, Kampung Sinar Budi Baru dan Kampung Tengah Sungai telah menganjurkan program agihan bubur lambuk di Dewan Sinar Budi Lama pada Ahad.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah, Dato Sri Dr Sim Kui Hian memberitahu, pihak SABERKAS menyediakan 500 bungkusan bubur lambuk untuk diagihkan kepada penduduk di kawasan tersebut.

Jelasnya, program berkenaan bertujuan merapatkan silaturahim antara penduduk semasa bulan Ramadan.

“Sebelum ini aktiviti agihan bubur lambuk melibatkan lebih ramai orang akan tetapi kali ini ianya tidak dapat diadakan atas kekangan yang dihadapi semasa pandemik COVID-19,” katanya selepas program pengagihan bubur lambuk itu.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak SABERKAS yang telah menjayakan program tersebut. –EDISI UKAS