Islam Galakan Hubungan Harmoni Antara Islam Dan Bukan Islam

ISNIN, 3 MEI 2021

LIMBANG: Setiap tahun Lembaga Amanah Kebajikan Islam Limbang (LAKIL) akan menganjurkan Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri untuk pegawai-pegawai masjid dan surau, ibu-ibu tunggal dan anak yatim.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sumbangan ini bertujuan menghargai sumbangan pegawai masjid dan surau, dan meraikan golongan asnaf menjelang Hari Raya Aidilfitri. 

“LAKIL akan berusaha untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab seperti mana yang diamanahkan dan kita juga akan bekerjasama dengan jabatan-jabatan yang lain. 

“Bukan itu sahaja, untuk mewujudkan masyarakat yang hidupnya sentiasa dalam keadaan harmoni di antara satu dengan yang lain, ia bukan sahaja melibatkan hubungan antara masyarakat yang beragama Islam tetapi juga dengan masyarakat yang bukan beragama Islam.

“Kita mahu hidup dalam kaedaan yang harmoni dan hormat menghormati di antara satu dengan yang lain,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Islam Limbang (LAKIL) dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Limbang dan Pejabat Agama Islam Bahagian di Dewan Kampung Bunga Raya pada Sabtu. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari menambah, kita juga perlu sentiasa mengamalkan sikap jujur dan ikhlas dalam usaha mewujudkan masyarakat yang harmoni di bulan Ramadan ini.

“Puasa bukan sahaja merupakan satu ibadah yang fardhu bagi kita tetapi ia akan dapat menyuburkan lagi sifat-sifat jujur dan ikhlas. 

“Seseorang yang mempunyai sifat jujur dan ikhlas akan benar-benar melaksanakan ibadahnya kerana Allah sentiasa melihat apa yang kita lakukan di muka bumi ini,” tambahnya. 

Dalam majlis itu, hanya wakil sahaja yang menerima simbolik sumbangan Hari Raya Aidilfitri yang mewakili pegawai masjid dan surau, ibu tunggal dan anak yatim.

Hadir sama Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauzi dan Pegawai Agama Islam Bahagian Limbang Ustaz Awang Abdul Rahim Awang Rosley. -EDISI UKAS

Share

add comment