Masyarakat Digesa Ambil Vaksin COVID-19, RM240,000 Diagihkan Untuk Masjid Dan Surau Di DUN Bukit Kota

ISNIN, 3 MEI 2021

LIMBANG: Pengambilan vaksin COVID-19 bertujuan untuk mencegah jangkitan COVID-19 dan ianya wajar diambil bagi melindungi diri dan orang lain. 

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata desas-desus yang mengatakan pengambilan vaksin COVID-19 dikatakan ada kesan sampingan sebenarnya sedikit sahaja berbanding berjuta-juta yang telah menerima vaksin tersebut.

Katanya lagi, beliau sendiri telah pun melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 tidak mengalami sebarang kesan sampingan. 

“Saya sebagai seorang yang mempunyai pendidikan dalam perubatan, saya memberi galakan supaya kita mengambil vaksin sebab inilah salah satu daripada kita ini untuk melindungi diri kita daripada dijangkiti virus COVID-19. 

“Ianya penting bukan sahaja untuk melindungi kita sebenarnya, ia juga melindungi masyarakat serta keluarga, masyarakat dan ibu bapa kita supaya kita tidak membawa virus ini ke rumah,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Penyampaian Geran Kecil Luar Bandar (MRP) Kepada Masjid dan Surau DUN Bukit Kota di Masjid Baitul Iman Daerah Limbang pada Jumaat. 

Justeru, Datuk Dr Abdul Rahman menyeru semua pihak membantu memerangi COVID-19 ini yang telah memberikan kesan yang mendalam terhadap kehidupan terutamanya bagi masyarakat Islam ketika menunaikan solat, berterawih dan sembahyang Hari Raya Aidilfitri perlu dijarakkan satu meter.

Berbanding tahun lepas, pada tahun ini sembahyang Hari Raya Aidilfitri dibenarkan tetapi kunjung mengunjungi masih tidak dibenarkan cuma bersama keluarga.

Bercakap mengenai Penyampaian Geran MRP Kepada Masjid dan Surau DUN Bukit Kota, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota berkata, bantuan ini bertujuan untuk membantu setiap masjid dan surau mengadakan aktiviti secara tahunan. 

“MRP ini adalah untuk aktiviti bagi masjid dan surau-surau di DUN Bukit Kota terutamanya untuk digunakan pada bulan Ramadan ini. 

“Kita juga dapat sumbangan daripada Baitulmal yang turut memberikan sumbangan RM1,000 yang dibank in terus ke akaun masjid dan surau. 

“Manakala, daripada saya peruntukan ini diadakan secara berperingkat iaitu bagi surau premis RM2,000, surau kampung RM3,000 dan masjid RM5,000,” ujarnya. 

Dalam pada itu, Datuk Dr Abdul Rahman turut memaklumkan Kerajaan Sarawak turut mempunyai peruntukan untuk pembangunan dan menaik taraf masjid dan surau baru mengikut keperluan.

Pada majlis itu, sebanyak 9 buah masjid, 45 buah surau kampung dan 23 buah surau dalam premis menerima geran MRP melibatkan peruntukan berjumlah RM240,000. 

Turut sama hadir Residen Bahagian Limbang Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said dan Pegawai Agama Islam Bahagian Limbang Awang Abdul Rahim Awg Rosley. -EDISI UKAS

Share

add comment