ISNIN, 3 MEI 2021
LAWAS: Penularan wabak pandemik COVID-19 di seluruh dunia termasuk di Sarawak telah menjejaskan pelaksanaan projek kerajaan dalam sektor pembinaan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, banyak projek tergendala dan ditangguhkan demi untuk menjaga keselamatan pekerja.
“Di Sarawak, projek-projek yang dibiayai Kerajaan Persekutuan, Projek Rakyat Projek RTP dan ada juga sebahagian Projek MRP yang dibiayai Kerajaan Sarawak banyak yang tergendala.
“Kadang-kadang ada setengah mereka yang tidak ada modal lain untuk hendak memanjangkan agenda politik mereka dengan mengatakan kerajaan tidak mengotakan janji,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Geran MRP DUN Bukit Sari di Hotel Seri Malaysia, Lawas pada Ahad.
Datuk Amar Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari menambah, selain projek tertangguh banyak syarikat yang mengalami masalah tenaga kerja disebabkan pintu sempadan ditutup selain kebimbangan penularan COVID-19 ini.
“Penularan COVID-19 ini juga telah menyebabkan banyak syarikat berdepan dengan masalah seperti kekurangan bahan binaan dan pengangkutan.
“Lebih memburukkan keadaan ialah masalah kekurangan pekerja kerana kita banyak bergantung kepada pekerja asing.
“Misalnya, di Lawas banyak projek yang dijalankan dan ini boleh memberi peluang kepada penduduk tempatan memenuhi keperluan pekerjaan dalam projek-projek tersebut sekaligus dapat mengembangkan lagi ekonomi setempat,” tambahnya.
Hadir sama Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Ubaidilah Abdul Latif, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Lawas. -EDISI UKAS