PERKIM Daerah Lawas Serah Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Kepada OKU, Anak Yatim Dan Ibu Tunggal

ISNIN, 3 MEI 2021

LAWAS: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Daerah Lawas merupakan sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang begitu aktif dalam keagamaan, kesihatan, kebajikan, kesukanan dan sebagainya.

Menyedari akan hal ini, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kejayaan PERKIM Daerah Lawas meneruskan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada Orang Kurang Upaya (OKU), anak-anak yatim dan ibu tunggal suatu yang harus dipuji. 

“Dalam keadaan ini kita terpaksa mengimbangi keperluan dan keselamatan.

“Kita bersyukur masih ada NGO’s seperti PERKIM Daerah Lawas yang dapat membantu golongan yang memerlukan di bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri. 

“PERKIM amat prihatin dan sentiasa berusaha memberi latihan dan bimbingan kepada golongan OKU dan mereka yang memerlukan,” katanya. 

Beliau berucap dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Kepada Orang Kurang Upaya (OKU), Anak-Anak Yatim dan Ibu Tunggal Daerah Lawas di Hotel Seri Malaysia, Lawas pada Ahad. 

Terdahulu, Pengerusi PERKIM Cawangan Lawas Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud dalam ucapannya memberitahu pihaknya sentiasa berusaha untuk mencari sumbangan daripada pelbagai sumber dengan harapan agar sumbangan ini dapat digunakan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik.

“PERKIM Lawas memerlukan sokongan padu semua anggota masyarakat khususnya golongan korporat, tokoh tempatan, ahli perniagaan dan badan kerajaan. 

“Pada tahun ini kita berupaya memberi sumbangan kepada 100 Orang Kurang Upaya, 162 anak-anak yatim dan 168 ibu tunggal di Daerah Lawas,” katanya. 

Pada majlis itu juga, Datuk Amar Awang Tengah dan Dato Dayang Morliah telah menyampaikan sumbangan kepada OKU, anak-anak yatim dan ibu tunggal. 

Hadir sama Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Ubaidilah Abdul Latif, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK). -EDISI UKAS

Share
0