Pusat Khidmat DUN Kakus Agih Bantuan Makanan Kepada Rumah Panjang Terlibat Dalam ACD

ISNIN, 3 MEI 2021

TATAU: Beberapa buah rumah panjang yang terlibat dalam Pengesanan Kes Aktif (ACD) COVID-19 telah mendapat perhatian dari Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus. 

Menurut wakil Pusat Khidmat DUN Kakus Eugene John Sikie, setiap rumah panjang yang terlibat dalam ACD akan menerima bantuan makanan. 

Katanya, sepanjang tempoh pelaksanaan ACD itu, penduduk tidak dibenarkan keluar untuk membeli makanan mahupun ke kebun untuk mendapatkan keperluan makanan. 

“Untuk Rumah Enggul, sebanyak 26 set makanan kering telah diagihkan kepada penduduk bagi keperluan selama dua minggu,” katanya ketika ditemui selepas mengagihkan bantuan makanan kepada penduduk di Rumah Enggul baru-baru ini. 

Turut diagihkan 20 set bantuan makanan kepada penduduk di Rumah Jali dan Rumah Luni di Bukit Dinding, Mukah. 

Manakala, sebanyak lima buah rumah panjang Rumah Belayong Ngelayang, Rumah Tepi Ebek, Rumah Minggu Chilli, Rumah Rimong Geriak dan Rumah Undom Anchih di Jalan Bukut, Mukah yang mempunyai 67 pintu juga menerima bantuan makanan. -EDISI UKAS

Share
0