ISNIN, 3 MEI 2021
KUCHING: Pusat Sehenti atau ‘One Stop Center’ COVID-19 di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini mula beroperasi pada Isnin.
Ia merupakan inisiatif kerajaan Sarawak bagi menempatkan semua perkhidmatan dari jabatan dan agensi yang berkaitan dengan operasi memerangi COVID-19.
Penyelaras Pusat Sehenti COVID-19 Kuching, Dr Hazirah berkata, antara perkhidmatan yang terdapat pada pusat tersebut adalah termasuk ujian calitan, saringan kes kontak, ujian calitan atas permintaan sendiri dan penilaian kes positif COVID-19 yang mempunyai simptom ringan.
“Pusat sehenti ini juga boleh mengeluarkan perintah kuarantin dan unit siasatan juga ditempatkan di pusat ini bagi menjalankan pengesanan kontak.
“Antara lain, pusat sehenti ini berkonsepkan pandu lalu dan tiga laluan disediakan bagi memudahkan pengurusan proses ujian calitan, di mana anda tidak diperlukan untuk keluar daripada kenderaan dan terus menuju ke laluan ditetapkan,” katanya ketika ditemui UKAS pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, terdapat tiga laluan disediakan iaitu laluan pertama bagi mereka yang mempunyai kontak rapat, laluan kedua bagi mereka yang mempunyai simptom manakala laluan ketiga pula bagi mereka yang positif COVID-19. -EDISI UKAS