Sekolah Di Kawasan Luar Bandar Sentiasa Diberi Perhatian Sepenuhnya

ISNIN, 3 MEI 2021

KUCHING: Keperluan sekolah-sekolah rendah di kawasan luar bandar sentiasa diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri.

Menteri Pendidikan Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Amar Micheal Manyin Jawong berkata, sekolah-sekolah di luar bandar diberi tumpuan bagi memastikan ia seiring dengan sekolah-sekolah di bandar.

“Kita memberi tumpuan terhadap sekolah rendah kerana ia merupakan platform pertama untuk bermula mengasah kebijaksanaan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat dari Exco Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebakang pada Isnin.

Kunjungan hormat tersebut bertujuan bagi membincangkan isu pendidikan khususnya berkaitan pencapaian sekolah-sekolah luar bandar yang kini merosot.

Tegas beliau lagi, di samping menyediakan infrastruktur pengajaran dan pembelajaran yang terbaik, kementerian juga memastikan kualiti guru dan tenaga pengajar mencapai tahap sewajarnya.

Mengulas tentang guru interim, kini Sarawak masih kekurangan kira–kira 3,000 guru.

Tambahnya lagi, pembinaan “Centralised School” bagi kawasan DUN Tebedu akan tetap dilaksanakan.

Justeru itu, beliau menyarankan agar semua para guru dan tenaga pengajar komited dengan tugasan mereka bagi memberi pendidikan yang baik untuk pelajar di luar bandar. –EDISI UKAS

Share

add comment