Terus Patuhi SOP, Daftar Program Vaksinasi Untuk Kekang COVID-19

ISNIN, 3 MEI 2021

SARIKEI: Semua rakyat khasnya di Sarikei harus bekerjasama dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan pihak kerajaan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Jelas ADUN Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, dengan daerah Sarikei kini berstatus merah, rakyat di situ tiada pilihan melainkan perlu meningkatkan lagi pematuhan terhadap garis panduan untuk mengelakkan penyebaran wabak yang kian membimbangkan itu.

Justeru, beliau menyeru rakyat melindungi diri dengan mendaftar untuk program vaksinasi melalui aplikasi MYSEJAHTERA, laman web www.vaksincovid.gov.my atau secara manual di Klinik Kesihatan Sarikei dan Pejabat Daerah Sarikei.

Semasa lawatan ke Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Fasa 2 Peringkat Bahagian Sarikei di Dewan Suarah Sarikei pada Sabtu, beliau mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan seperti kakitangan perubatan, anggota tentera dan polis atas komitmen mereka untuk memutuskan penularan wabak itu.

Dato’ Sri Huang turut berterima kasih kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di atas usahanya untuk melindungi rakyat negeri ini dari wabak berkenaan.

Pada lawatan sama, ADUN Repok itu turut merasmikan pengagihan bubur lambuk kepada petugas di PPV Dewan Suarah serta orang awam yang disediakan oleh Jabatan Penerangan Bahagian Sarikei dan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Sarikei. – EDISI UKAS

Share

add comment