Terus Patuhi SOP, Kekang Penularan COVID-19

ISNIN, 3 MEI 2021

SERIAN: Masyarakat di Bahagian Serian khususnya dari kawasan Bukit Semuja dinasihatkan agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak kerajaan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus berkata, mereka juga perlu terus mengamalkan budaya norma baharu dalam kehidupan seharian ke arah memastikan keluarga dan komuniti bebas daripada ancaman pandemik berkenaan.

Bercakap ringkas semasa Jerayawara Bubur Lambuk Saberkas Peringkat DUN Bukit Semuja pada Ahad, beliau menyeru komuniti di Serian supaya segera mendaftar dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sekaligus mencapai imuniti kelompok.

Dalam program tersebut, beliau telah menyampaikan simbolik pengagihan bubur lambuk di Masjid Darul Taqwa, Kampung Sorak Melayu.

Sebanyak 636 bungkus bubur lambuk telah diagihkan kepada penduduk di kampung-kampung, kawasan Taman Perumahan dan pelbagai Persatuan dalam kawasan Bukit Semuja.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada barisan AJK Exco Cawangan Bukit Semuja dan Saberkas di atas kerjasama dan juga penglibatan mereka dalam usaha menjayakan program berkenaan. -EDISI UKAS

Share

add comment