38 Sekolah Di Meradong Terima Sumbangan Pelitup Muka, Pembersih Tangan Dan ‘Fog Machine’

SELASA, 4 MEI 2021

BINTANGOR: Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negeri Sarawak dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Meradong telah menyumbang pelitup muka, pembersih tangan serta ‘Fog Machine’ kepada sebanyak 34 sekolah rendah dan empat sekolah menengah di Meradong.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, sumbangan berkenaan merupakan usaha pihaknya dalam mewujudkan persekitaran selamat kepada para pelajar dan guru apabila sesi persekolahan disambung semula kelak.

Pada masa sama katanya, sumbangan itu juga bertujuan mewujudkan kesedaran dalam kalangan pelajar untuk mematuhi garis panduan dengan ketat untuk memutuskan penularan Covid-19.

“Saya harap melalui projek ini akan mewujudkan kesedaran terutama dalam kalangan murid dan guru mengenai kepentingan mematuhi SOP dengan ketat.

“Harapan kita dengan sumbangan ini dapat menyediakan persekitaran yang selamat kepada murid dan guru di Meradong,” katanya kepada Unit Komunikasi Awam Sarawak semasa majlis ringkas penyerahan pelitup muka, ‘fog machine’ dan pembersih tangan di Dewan Masyarakat Bintangor pada Selasa.

Sebanyak 38 set ‘fog machine’, 38 kotak pembersih tangan dan 1145 kotak pelitup muka diagihkan untuk manfaat seramai 5724 pelajar.

Sementara itu, Datuk Ding turut mengagihkan sebanyak 10 kotak pembersih tangan kepada Klinik Kesihatan Bintangor manakala dua kotak lagi kepada Balai Bomba Dan Penyelamat Bintangor.

Jelas beliau, sumbangan tersebut bagi memastikan para petugas kesihatan dan anggota Bomba terus dilindungi ketika menjalankan tugas mereka. – EDISI UKAS

Share

add comment