Bersedia Terima Kemasukan Ramai Pelancongan Ke Limbang Dalam Tempoh 5 Tahun Akan Datang – Datuk Dr Abdul Rahman

SELASA, 4 MEI 2021

LIMBANG: Dalam tempoh lima tahun akan datang, ramai pelancong akan datang ke Limbang selepas pembangunan pengangkutan jalan raya dibina dan dinaik taraf. 

Justeru, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail meminta masyarakat di Limbang bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menerima perubahan keadaan ini. 

“Ini disebabkan pelbagai kawasan akan dihubungkan melalui jalan-jalan raya menuju tempat pelancongan antarabangsa misalnya Gunung Buda dan jalan Sarawak Link Road menghubungkan Miri dan Lawas tanpa melalui Brunei Darussalam. 

“Selain itu, tebingan sungai yang terpanjang di Sarawak sejauh 1.7 kilometer, muzium dan galeri yang baru, Taman Awam, jalan-jalan yang menghubungkan kawasan pendalaman dengan Bandar Limbang, Jambatan Limbang Kedua dan banyak lagi termasuklah Pusat Pentadbiran Bersepadu Limbang (LIAC Limbang Integrated Administrative Centre) di Ranggau kini dalam pembinaan dan ada yang akan dilaksanakan tidak lama lagi,” katanya semasa berucap dalam Program Badudun Ramadan 1442H/2021M di Surau Darul Naim, Kampung Baru Kuala Berawan pada Sabtu. 

Mengenai permohonan yang dikemukakan Ketua Kampung Baru Kuala Berawan Leah Awang, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota memberitahu kesemuanya sudah ada di dalam ‘Bank Projek’ yang dikemaskini di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Kota.

“Permohonan seperti pembinaan dewan pelbagai guna, gelangganag futsal, penyambungan jambatan konkrit, sistem perparitan kampung, jalan kampung dan lampu jalan semuanya sudah ada di dalam ‘Bank Projek’ yang dikemaskini di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Kota. 

“Kesemua projek tersebut telah diserahkan kepada agensi-agensi yang terlibat seperti Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Jabatan Pengairand an Saliran (DID), Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARIS),” ujarnya. 

Pada majlis itu, Datuk Dr Abdul Rahman telah menyampaikan sumbangan berupa barangan makanan kepada 40 orang asnaf yang terpilih dan 10 orang warga emas serta anak yatim.

Hadir sama Pegawai Daerah Limbang Superi Haji Awang Said, Walikota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat, Pegawai Agama Islam Bahagian Limbang Awang Abdul Rahim Awang Rosley,Pemanca Haji Abu Bakar Haji Tinggal, Timbalan Pengerusi PBB Cawangan DUN Bukit Kota Osman Haji Salleh dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK). -EDISI UKAS

Share

add comment