Dua Premis, Tiga Individu Di Bintulu Dikompaun Tidak Mematuhi SOP PKPB Diperketatkan

SELASA, 4 MEI 2021

BINTULU: Dua premis dan tiga individu telah dikenakan kompaun selepas  didapati ingkar dan tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) SOP Diperketatkan pada Isnin. 

Pegawai Kesihatan Bintulu Dr Melvin Chung ketika ditemui berkata, antara kesalahan yang telah dilakukan mereka ialah tidak mengimbas aplikasi MySejahtera, menyediakan pembersih tangan dan tidak mengikuti garis panduan peratusan bekerja dari rumah. 

Katanya lagi, sebuah syarikat pembekal makanan kering dan minuman di kawasan perindustrian Batu 5, dikenakan kompaun RM30,000 ekoran tidak mematuhi SOP yang telah digariskan seperti tidak mengimbas MySejahtera, menyediakan cecair sanitasi tangan.

“Kita dapati masih terdapat syarikat yang tidak mematuhi SOP yang telah dikuatkuasakan beberapa minggu lepas.

“Dalam tinjauan ini didapati syarikat tersebut tidak mematuhi SOP seperti tidak menyediakan pembersih tangan, mengimbas kod QR dan memastikan kapasiti pekerja tidak melebihi 30 peratus dan bekerja dari rumah 70 peratus. 

“Masih ada syarikat yang tidak bertanggungjawab dan masih mengulangi kesalahan yang sama hingga dikenakan kompaun sebanyak RM30,000 atas kesalahan peraturan 19 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit 1988,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan Operasi Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) SOP Diperketatkan di sekitar Bandar Bintulu dan kawasan Industri Bintulu pada Isnin. 

Manakala, sebuah lagi premis pasaraya di Medan Raya Commercial Centre pula dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 selepas didapati gagal mematuhi SOP PKPB SOP Diperketatkan dengan membenarkan lebih 30 peratus pekerja turun bekerja.

Ujar Dr Melvin lagi, tiga individu turut dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 ekoran tidak mengimbas kod QR di aplikasi MySejahtera.

“Daripada 8 premis yang telah kita dilakukan tinjauan, kita telah mengenakan kompaun sebanyak RM44,500 akibat kesalahan mengingkari pematuhan SOP PKPB SOP Diperketatkan,” ujarnya. 

Hadir sama Ahli Parlimen Bintulu yang juga merupakan Duta Khas Perdana Menteri ke Rupeblik Rakyat Cina Dato Seri Tiong King Sing, wakil Penguatkuasa Lembaga Kemajuan Bintulu, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Penguatkuasa Pejabat Kesihatan Bintulu. -EDISI UKAS

Share

add comment