SELASA, 4 MEI 2021
LIMBANG: Pada tahun ini, Program Jerayawara Bubur Lambuk SABERKAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota diadakan di Kampung Pabahanan.
Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, ini merupakan program tahunan SABERKAS Negeri Sarawak yang bertujuan mengimarahkan suasana Ramadan setiap tahun.
“Program Jerayawara Bubur Lambuk ini merupakan program tahunan SABERKAS Negeri Sarawak yang dianjurkan di setiap cawangan seluruh negeri Sarawak dengan peruntukannya sebanyak RM1,000.
“Tuan rumah bagi jerayawara ini akan diadakan secara bergilir di 18 Unit SABERKAS Cawangan Bukit Kota,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Jerayawara Bubur Lambuk SABERKAS anjuran SABERKAS Cawangan Bukit Kota dengan kerjasama SABERKAS Unit Kampung Pabahanan di Surau Syurfatul Jannah, Kampung Pabahanan pada Sabtu.
Sebanyak 250 pek bubur lambuk diagihkan kepada penduduk di kampung tersebut melalui penghantaran rumah ke rumah.
Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Pengerusi SABERKAS Cawangan DUN Bukit Kota menambah, pada tahun turut diadakan SABERKAS Prihatin yang merupakan program terbaru SABERKAS Negeri Sarawak.
“Pada tahun ini ada satu lagi program dari SABERKAS Negeri Sarawak yang dinamakan SABERKAS Prihatin dengan aktiviti memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan.
“Peruntukannya sebanyak RM3,000 di mana setiap unit SABERKAS akan memilih dua orang sahaja menjadikan jumlah keseluruhan 36 orang menerima sumbangan di bulan Ramadan pada tahun ini,” tambahnya.
Jelaslah bahawa, SABERKAS bukan sahaja menjalankan aktiviti sosial dan hiburan sebaliknya melaksanakan pelbagai aktiviti daripada pendidikan, ekonomi, sosial dan aktiviti agama.
Hadir sama Naib Pengerusi 1 SABERKAS Cawangan Bukit Kota Kaunselor Sufian Mohat, Naib Pengerusi 2 SABERKAS Cawangan Bukit Kota Suhaimi Mohamad dan Ketua Kampung Pabahanan Latip Sabli. -EDISI UKAS