Masyarakat Islam Perlu Punyai Ilmu, Rebut Peluang Beramal Di Bulan Ramadan

SELASA, 4 MEI 2021

LAWAS: Di sepanjang bulan Ramadan ini, pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, gunakanlah peluang ini untuk mengimarahkan bulan Ramadan dengan memperbanyakan bersedekah, membaca al-Quran dan membuat amalan yang baik. 

“Gunakanlah peluang ini supaya kita terus berpegang kepada ajaran agama, meningkatkan keimanan, ketakwaan kepada Allah dan memperbaiki akhlak serta peribadi kita. 

“Jika ini dapat kita lakukan, nescaya kita akan dapat menghadapi apa juga cabaran hidup ini,” katanya semasa berucap dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Lembaga Amanah khairat Islam Lawas kepada Pengerusi, Imam, Bilal Masjid dan Surau Daerah Lawas di Masjid Darul Ma’mur, Lawas pada Isnin. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari menambah, bagi masyarakat Islam, untuk berjaya kita harus menguatkan lagi ketaqwaan dan akhlak tinggi yang akan menentukan keperibadian kita. 

“Kita mesti ada ilmu supaya kita dapat menguruskan kehidupan dan amal ibadah dengan lebih baik, berdakwah dan meningkatkan taraf hidup.

“Jika kita dapat mengamalkan semua ini, Insha Allah kita akan berjaya dan seterusnya mengekalkan perpaduan dan kerjasama yang ada,” tambahnya. 

Hadir sama Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Ubaidilah Abdul Latif, Pegawai Daerah Lawas  Ladin Atok, Pemanca Rosli Majid dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Lawas. -EDISI UKAS

Share

add comment