Operasi Pemindahan Kontak Rapat COVID-19 Penghuni Rumah Alias Bon Ke Hotel Emart Riam Berjalan Lancar

SELASA, 4 MEI 2021

NIAH: Operasi pemindahan seramai 248 kontak rapat kes positif COVID-19 dari Rumah Alias Bon, Sungai Manong Niah ke  Hotel Emart Riam, Miri pada Isnin berjalan lancar. 

Ini selepas kes positif di rumah panjang tersebut semakin membimbangkan.

Justeru, langkah memindahkan kesemua penduduk di rumah itu yang merupakan kontak rapat kepada pesakit positif COVID-19 merupakan langkah mengekang penularan COVID-19 di kalangan penduduk rumah panjang tersebut. 

Pemindahan penduduk telah mendapat bantuan daripada agensi seperti Pejabat Daerah Subis, Pejabat Kesihatan Miri, Polis Gerakan Am (PGA), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Niah serta melibatkan tiga buah bas, dua lori PGA dan satu kenderaan Bomba.

Sebelum ini Rumah Alias Bon telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama 14 hari bermula 22 April hingga 5 Mei 2021 dan dilanjutkan selepas mendapati masih ramai dijangkiti positif COVID-19. -EDISI UKAS