Pasukan Khas Ditubuhkan Pantau Kebakaran Kawasan Tanah Gambut Miri

SELASA, 4 MEI 2021

MIRI: Orang ramai khususnya mereka yang pernah melakukan pembakaran terbuka di kawasan Kuala Baram, Miri diminta untuk memberikan kerjasama supaya tidak mengulangi perbuatan pembakaran terbuka lagi. 

Menteri Pengangkutan Sarawak Merangkap Menteri Bertanggungjawap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri (JPBB) berkata, ini kerana pada ketika ini penularan pandemik COVID-19 sangat membimbangkan ditambah dengan pembakaran terbuka yang boleh memberikan kesan yang lebih teruk kepada pesakit COVID-19.

“Kita tahu bahawa pesakit COVID-19 ini ada sebahagian mereka juga menghadapi masalah pernafasan. 

“Jikalau ada jerebu di Miri, ini juga akan menjejaskan kesihatan mereka. 

“Mereka sudah menghadapi masalah pernafasan dengan jerebu itu mereka akan menjadikan keadaannya lebih serius, itu sangat merbahaya,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan tinjauan di tiga pos kawalan kebakaran di Kuala Baram Miri pada Isnin. 

Mengulas mengenai tinjauan itu, Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak berkata, pada tahun ini sebanyak tiga Pos Kawalan Kontena yang akan beroperasi 24 jam sebagai langkah pencegahan awal kebakaran. 

“Petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan bertugas berdasarkan tiga syif di lokasi strategi iaitu dua di Kuala Baram dan satu berdekatan dengan Universiti Curtin,” katanya. 

Beliau turut mengarahkan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Miri dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Miri melakukan pemantauan lebih kerap termasuk pada waktu malam, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Miri memantau aktiviti haram terutamanya di kawasan tanah kerajaan dan Jabatan Mineral dan Goesains Sarawak memeriksa keadaan air telaga dan kelengkapan telaga tiup air bawah tanah dan ‘check dam’ supaya dapat beroperasi.

Turut hadir Pegawai Bahagian Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Wilayah Utara Miri Joseph Uyo, Pegawai Kawalan Alam Sekitar Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Miri Grace Puyang Emang, Ketua Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kiong, wakil Pejabat Residen Miri Rose Edward Tarang dan Pemangku Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof. -EDISI UKAS

Share
0