Penduduk Kampung Penapak Perlu Siap Sedia Hadapi Arus Pembangunan Berterusan

SELASA, 4 MEI 2021

LIMBANG: Penduduk Kampung Penapak perlu siap sedia dari segi mental dan fizikal dalam menerima pembangunan berterusan. 

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, ini kerana Kampung Penapak yang berdekatan dengan bandar akan menerima pembangunan yang pesat dan dikelilingi dengan bangunan yang tinggi dan moden. 

“Persediaan dari segi mental dan fizikal perlu dilatih dari sekarang dan penduduk di Kampung Penapak perlu mencari ruang dan peluang untuk turut sama dalam pembangunan tersebut bukan hanya menjadi pemerhati atau penonton sahaja. 

“Sebaliknya, ambil peluang ini untuk menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dan berusaha untuk mengembangkan perniagaan tersebut,” katanya semasa Program Taqarrub Ramadan Tahun 1442H/2021M di Surau Darul Muttaqin, Kampung Penapak Limbang pada Ahad. 

Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota memberitahu beliau akan melihat permohonan penduduk setempat seperti gelangang futsal dan sistem perparitan yang perlu diselanggara atau dibina baru agar tidak ada kes-kes rumah atau kawasan yang terlibat dengan banjir kilat.

Hadir sama Pemanca Abu Bakar Tinggal, Timbalan Pengerusi PBB Cawangan Bukit Kota Osman Salleh, Ketua Kampung Penapak Limbang Hasan Diprudin dan Pengerusi Surau Darul Muttaqin Abdul Rahman@Nayan Abdullah. -EDISI UKAS