Pengorbanan Petugas Barisan Hadapan Perangi Covid-19 Tuntut Kerjasama Masyarakat

SELASA, 4 MEI 2021

KUCHING: Pengorbanan petugas barisan hadapan dalam memerangi wabak pandemik COVID-19 menuntut kerjasama dari orang ramai.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat Dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abdullah Saidol berkata, masyarakat juga perlu memainkan peranan penting untuk berkorban dalam mematuhi peraturan dan juga prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Dalam kita merasa resah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan berbagai sekatan, petugas barisan hadapan pula berkorban masa dan tenaga menjalankan tugas.

“Kita perlu menghargai pengorbanan mereka dan untuk itu kita perlu berkorban dari segi pematuhan SOP mengekang penularan wabak COVID,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program ‘Terima Kasih Frontliners’ Unit Komunikasi Awam Sarawak 2021 pada Isnin.

Pada program tersebut beliau telah menyampaikan sumbangan kepada petugas barisan hadapan di lima lokasi iaitu di Pusat Kuarantin Dan Rawatan Berisiko Rendah COVID-19 (PKRC) Kompleks Belia Dan Sukan, Sekatan Jalan Raya (SJR) Kampung Sagah, Jalan Sungai Tengah Matang, SJR Kampung Daun, Singai, PKRC Pusat Latihan Staf Unimas Bau dan SJR Jalan Bau-Serikin.

Ujarnya, program tersebut bukan sekadar sebagai tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan malah turut mengajak masyarakat untuk bersama-sama menghargai pengorbanan mereka.

“Antara matlamat utama kami warga UKAS untuk menziarahi mereka selain menyampaikan sumbangan, singgah sekejap dan bertanya khabar adalah membawa mesej kepada masyarakat untuk bersama-sama menghargai pengorbanan mereka yang bertungkus-lumus 24 jam menjalankan tanggungjawab.

“Mereka juga ingin balik kampung, mereka juga ingin menyambut Hari Raya, Gawai dan sebagainya.

“Dengan kerjasama semua, kita berharap dapat membantu meringankan kerja mereka sebagai petugas barisan hadapan,” tambahnya.

Sementara itu, program yang sama turut diadakan di Miri pada 5 Mei dan Sibu, 6 Mei 2021.

Turut serta dalam program tersebut Pengarah UKAS, Samat Junai serta pegawai-pegawai lain.-EDISI UKAS

Share

add comment