Rebut Peluang 10 Malam Terakhir Di Bulan Ramadan

SELASA, 4 MEI 2021

LIMBANG: Umat Islam perlu merebut peluang 10 malam terakhir di bulan Ramadan yang memberi banyak kebaikan.

Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Hasbi Habibollah berkata, dalam 10 hari terakhir di bulan Ramadan adanya malam lailatulqadar iaitu malam yang lebih baik dari 1,000 bulan.

“Lailatulqadar adalah malam turunnya Al-Quran dari Lauful Mahfudz ke Baitul Izzah iaitu langit dunia. 

“Pada malam lailatul qadar disebutkan memiliki kebaikan setara dengan 1,000 bulan sebagaimana yang disebut dalam Surat Al Qadr ayat 1 hingga ayat 5. 

“Meskipun malam lailatul qadar ini tidak diketahui akan kedatangannya, namun umat Islam diminta untuk mencarinya di 10 hari terakhir di bulan Ramadan,” katanya. 

Katanya, semasa berucap dalam Program Penyerahan Buah Kurma Untuk Masjid dan Surau dalam kawasan Parlimen Limbang Dewan Kampung Bunga Raya, Limbang pada Sabtu. 

Mengulas mengenai pemberian buah kurma ini, beliau yang juga Ahli Parlimen Limbang memberitahu ini merupakan sumbangan daripada syarikat swasta di Bintulu. 

“Ini merupakan sumbangan daripada syarikat di Bintulu sebagai salah satu tanggungjawab perkhidmatan pelanggan dan telah diadakan setiap tahun.

“Pada tahun ini sumbangan telah diberikan untuk 61 buah masjid dan surau dan 55 buah kampung di kawasan Parlimen Limbang,” ujarnya. 

Hadir sama Timbalan Residen Bahagian Limbang Sebi Abang, Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said, Pegawai Agama Islam Bahagian Limbang Awang Abdul Rahim Awang Rosley, Pemanca Abu Bakar Tinggal dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Limbang. -EDISI UKAS

Share

add comment