Kelab Sukan Dan Rekreasi Balingian Bergotong-Royong Agih Bubur Lambuk

RABU, 5 MEI 2021

BALINGIAN: Kelab Sukan Dan Rekreasi Balingian (KSRB) tidak ketinggalan dalam mengimarahkan sambutan Ramadan dengan bergotong-royong menyedia dan mengagihkan bubur lambuk.

Program dianjurkan pada Selasa itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi.

Ketika ditemui, Abdul Yakub amat berterima kasih kepada KSRB atas inisiatif menganjurkan program tersebut walaupun dalam keadaan norma baharu kerana mematuhi SOP yang telah digariskan.

Beliau juga berpesan kepada warga Balingian untuk terus mematuhi SOP dan sentiasa berwaspada apabila berkeperluan untuk ke lokasi awam.

Sementara itu, Pengerusi KSRB, Hafizzul Abdul Halim berkata program tersebut merupakan aktiviti tahunan belia di Balingian dalam merapatkan belia dan kelab bersama masyarakat.

Katanya, penganjuran aktiviti tersebut diteruskan setelah mendapat nasihat daripada pihak-pihak yang berkenaan bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan SOP yang telah digariskan oleh JPB Bahagian Mukah, JPBN Sarawak atau MKN.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada Abdul Yakub kerana sentiasa memberi sokongan terhadap aktiviti-aktiviti belia di kawasan DUN Balingian.

Bubur lambuk tersebut diagihkan ke Balai Polis Daerah Kecil Balingian, Klinik Kesihatan Daerah Kecil Balingian, Masjid Darul Taqwa Balingian, Surau Kampung Lintang Balingian, Surau Kampung Pulat Balingian, Masjid Haji Bujang Kampung Masjid Balingian dan Masjid Nur Iman Kampung Kuala Balingian. – EDISI UKAS

Share

add comment