RABU, 5 MEI 2021
BINTULU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) diminta untuk memberikan kerjasama dalam memerangi wabak pandemik COVID-19 di Bahagian Bintulu.
Ahli Parlimen Bintulu Dato Seri Tiong King Sing berkata, masyarakat tidak boleh memandang ringan usaha menentang wabak itu sehingga ke penghujungnya setelah mendapati jumlah kes positif COVID-19 dalam tempoh dua hari berturut-turut menunjukan pengurangan.
“Kejadian di masa lalu seharusnya dijadikan pengajaran dan iktibar.
“Sekiranya kita tidak mengambil langkah berjaga-jaga, virus yang ‘bergerak’ ini menunggu peluang untuk ‘membuat gelombang’ lagi dan mengancam kesihatan dan nyawa semua orang, terutamanya ekonomi kita,” katanya.
Katanya semasa mengadakan Dialog Bersama KMKK Kawasan Jepak, Samalaju, Tanjong Batu dan Kemena di Hotel Promenade, Bintulu baru-baru ini.
Jelas Dato Seri Tiong lagi, dalam dialog itu juga beliau turut berbincang mengenai perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.
“Saya merayu kepada KMKK yang terlibat untuk bekerjasama di dalam memerangi wabak ini bagi memastikan perayaan Aidilfitri akan datang tidak akan menjadi pelanggaran dalam tugas pencegahan wabak COVID-19.
“Ini termasuk meminta KMKK menyampaikan mesej kepada masyarakat Islam untuk tidak berkumpul atau mengunjungi sanak saudara dan rakan-rakan semasa perayaan itu,” ujarnya.
Pada masa yang sama, beliau turut menasihati mereka yang berada di luar zon atau Daerah Bintulu untuk tidak balik ke kampung masing-masing bagi menyambutan Hari Raya Aidilfitri pada 13 Mei ini.
Jelasnya, masyarakat Islam perlu terus berada di rumah masing-masing susulan peningkatan kes positif COVID-19 di Bahagian Bintulu telah pun merebak di beberapa penempatan.
Tambah, Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China itu lagi, perayaan Hari Raya Aidilfitri masih boleh disambut dengan norma baharu iaitu menggunakan teknologi sedia ada.
“Kemudahan internet kini sudah berada di kampung dan aplikasi seperti Zoom, Google dan panggilan video boleh dimanfaat untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada keluarga, saudara mara dan rakan-rakan yang jauh,” katanya.
Walaupun lengkung wabak kini sedikit terkawal dengan kira-kira 11 kes disahkan di Bintulu pada Isnin, masyarakat tidak sepatutnya mengambil ringan dan terus bekerja keras. -EDISI UKAS